23 Disember 2013.
Langkawi Cable Car adalah satu destinasi wajib untuk dikunjungi kerana ia adalah yang terbaik di dunia. Ianya terletak di Gunung Mat Chinchang, barat laut Pulau Langkawi dan merupakan yang terpanjang di dunia iaitu 2.2 km. Stesen cable car ini dibina pada 27 Februari 2005 di Oriental Village bagi memudahkan pengunjung menikmati keindahan pemandangan alam flora dan fauna di sepanjang pergunungan hingga ke puncak gunung (ketinggian 713 meter). Panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian 500 juta ini amat unik dan pengunjung juga dapat melihat keunikan geologinya pada jarak dekat bagaikan dalam sangkar burung garuda ( gondola).
Kami bertolak dari Hotel di Pekan Kuah ke Oriental Village di kaki Gunung Mat Chinchang dengan menaiki bas sewa dan mengambil masa sekitar 30 minit. Dari jauh lagi kami dapat melihat gondola terapung-apung di udara menaiki puncak Gunung Mat Chinchang. Kami tiba di Oriental Village sekitar jam 9.30 pagi dan disambut oleh jurugambar yang merakam gambar setiap pengunjung untuk diabadikan kenangan di piring Langkawi GeoPark. Pengunjung boleh membeli gambar tersebut dengan harga RM10.00. Jangan lupa 'posing' yang terbaik untuk kenangan.
Inilah jambatan gantung sebagai simbolik pintu masuk / pintu keluar ke/dari Oriental Village untuk menuju ke Stesen Langkawi Cable Car. Gayat beb kalau ramai yang melalui jambatan ini sebab jambatan bergoyang dan kita pun terhoyong-hayang untuk menstabilkan diri melalui jambatan ini.
Di dalam kolam itu banyak terdapat ikan koi yang besar-besar dan kalau kita ada roti bolehlah bagi kepada ikan untuk makan, sudah pasti banyak ikan mengerumuni nak makan. Aduhai pandai pulak ikan-ikan kat situ 'demand' nak makanan yang mahal aje..
Teratai layu di tasik Oriental Village.
Ramai pengunjung datang berkunjung di Langkawi Cable Car ini, sementara hendak menunggu tiket masuk maka sempatlah menjamu mata ke kedai-kedai yang ada di sekitar. Boleh tahan gak ler harganya. Sibuk pulak si Miza meminta macam-macam untuk dibeli.
Tiket Langkawi Cable Car boleh dibeli dengan harga RM15.00 (with MyKad) untuk dewasa dan RM10.00 (with MyKad) untuk kanak-kanak (2-12 tahun). Pesanan...Jangan lupa bawa MyKad untuk mendapatkan harga istimewa ini, kalau tidak mahal lah kena bayar untuk beli tiket iaitu RM30.00 untuk dewasa dan RM20.00 untuk kanak-kanak.
Pengunjung setia di Oriental Village.
Muramnya muka Miza kepenatan menunggu giliran menaiki gondola Langkawi Cable Car. Lama jugalah menunggu masa untuk sampai giliran sebab ramai sangat pengunjung di situ kerana cuti sekolah. Maka pengajarannya, jangan datang ke sini semasa cuti sekolah nanti terseksa jiwa dan raga menunggu giliran menaiki gondola.
Yahooooo sampai juga ke nombor giliran untuk menaiki gondola. Satu trip gondola hanya boleh membawa enam penumpang sahaja jadi pakat-pakat ler dengan kawan-kawan kalau nak sama-sama satu gondola. Kami hanya berempat jadi yang dua lagi adalah pengunjung orang putih (antarabangsa), macam bukan berada di Malaysia.
Pemandangan indah gunung-ganang dan kelihatan gondola terapung-apung dari atas di Stesen dua. Apa yang pasti ku lihat hijau.
Miza sempat berposing untuk dirakam dalam kamera Babah.
Lokasi menarik di Anjung Tinjau Stesen Atas Langkawi Cable Car. Kami telah berada di puncak gunung Mat Chinchang dan dari situ kami boleh melihat pemandangan gunung ganang, laut dan pulau-pulau di Langkawi. Satu pengalaman percutian yang terbaik dan rugi rasanya kalau datang ke Langkawi tetapi tidak berkunjung di Langkawi Cable Car.
Antara aksi-aksi yang sempat digayakan sewaktu kami berada di puncak Gunung Mat Chinchang sebagai kenangan terindah di sana. Memang terbaik berada di puncak kerana cuacanya yang sejuk dan suasana nyaman sekali.
Sempat singgah membeli burger ayam kerana kelaparan. Brother tu 'tak menang tangan' ambil order sebab pengunjung kelaparan bukan kerana apa tetapi kerana penat berposing.
Setelah puas mengamati keindahan suasana dan kedamaian di Puncak Gunung Mat Chinchang maka kami pun beratur mengambil giliran untuk menaiki gondola untuk turun dari Stesen Atas ke stesen pencawang utama di bawah.
No comments:
Post a Comment